Politics

Warga emas maut ketika daki Gunung Pulai


KULAI – Seorang warga emas mati ketika melakukan aktiviti mendaki Gunung Pulai di Kampung Sri Gunung Pulai di sini petang tadi.

Mangsa, Chua Kok Wah, 62, dilaporkan pengsan pada ketinggian tiga kilometer (km) dari kaki gunung tersebut sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Tinggi II Bakhtiar Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.27 petang.

Beliau berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Kulai dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat mangsa.

Katanya, operasi menyelamat mangsa itu diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Asmiza Zaini.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa pengsan di gunung setinggi 3km dari kaki gunung semasa aktviti mendaki.

“Difahamkan, mangsa yang melakukan aktiviti mendaki gunung itu dengan kira-kira 10 rakan lain secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri pada ketinggian 3km.

“Rakan-rakannya memberi pertolongan cemas, namun mangsa tetap tidak sedarkan diri. Mereka menahan sebuah pacuan empat roda yang melalui kawasan itu untuk membawa mangsa turun ke pondok pengawal,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.

Baktiar berkata, ketika anggotanya tiba di lokasi, mangsa telah dibawa turun ke pondok pengawal di kaki gunung dengan bantuan orang awam.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan mangsa biasa melakukan aktiviti mendaki gunung di kawasan tersebut. Ketika mendaki mangsa tidak alami kecederaan lain atau terjatuh, tetapi pengsan tiba-tiba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow mengesahkan kejadian kematian warga emas tersebut dan siasatan awal mendapati mangsa mengalami sesak nafas sebelum pengsan ketika melakukan aktiviti mendaki gunung. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.