Politics

United menang, tapi Rangnick pula berang


MANCHESTER – Biarpun berjaya meraih kemenangan, Pe­ngurus Manchester United, Ralf Rangnick mengkritik kelemahan pasukannya sambil menyifatkan mereka satu-satunya pasukan di Liga Perdana Inggeris yang memiliki masalah tersebut.

Kelmarin, United melayan kunjungan Norwich di Old Trafford dan berjaya mencatat kemena­ngan tipis 3-2 menerusi hatrik yang dilakukan oleh Cristiano Ronaldo.

Kemenangan tersebut me­nyaksikan United kembali me­mintas Arsenal dan kekura­ngan tiga mata berbanding Tottenham Hotspur yang menghuni slot terakhir ke saingan Liga Juara-Juara.

“Mereka menjaringkan gol yang sangat mudah. Kami adalah satu-satunya pasukan di EPL yang melepaskan gol dengan cara sebegitu.

“Selepas mendahului dengan dua gol, sepatutnya tugas kami menjadi lebih mudah tetapi sebaliknya berlaku. Kami hilang struktur permainan dan tidak cukup agresif.

“Secara tiba-tiba kami hilang kelebihan dua gol itu dan bernasib baik apabila David De Gea banyak menyelamatkan ­ke­adaan,” katanya.

Dalam pada itu, Rangnick juga tidak gemar pasukan dan peminat yang terlalu meletakkan harapan kepada Ronaldo untuk menghasilkan jaringan.

“Kami sepatutnya tidak boleh mengharapkannya sahaja. Kami bermain dengan baik tetapi adakalanya kami secara tiba-tiba memperlahankan rentak.

“Saya sangat tidak gembira dengan aksi pemain di benteng pertahanan. Kami perlu mening­katkan lagi cara permainan untuk aksi berikutnya selepas ini,” jelasnya. – AGENSI





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.