Politics

Suspek pandu kereta curi ,rempuh kenderaan lain ditahan


KUALA LUMPUR – Bimbang dicekup polis, tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta disyaki kereta curi sanggup melarikan diri hingga merempuh beberapa kenderaan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Kepong, di sini petang tadi.

Bagaimanapun, salah seorang daripada suspek berjaya ditahan selepas kereta berkenaan terperangkap di dalam kesesakan jalan raya di kawasan Metro Perdana Jalan Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lebih kurang pukul 5.14 petang, pihak polis menerima laporan berkenaan kejadian melarikan diri daripada pemeriksaan polis di lokasi.

“Hasil siasatan awal mendapati semasa kereta peronda polis (MPV) sedang membuat rondaan di kawasan MRR2 telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Satria warna hitam yang dinaiki tiga individu.

“Semakan sistem polis mendapati nombor pendaftaran kereta yang digunakan tidak sama dengan jenis kereta yang dipandu menyebabkan petugas MPV bertindak menghampiri kereta tersebut, namun secara tiba-tiba pemandu kereta memecut laju dengan cara berbahaya ke arah Kepong,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, keadaan jalan raya yang sibuk serta sesak menyebabkan pemandu kereta merempuh beberapa buah kenderaan serta motosikal penghantar makanan yang sedang bergerak bagi mengelak daripada ditahan polis.

“Bagaimanapun, salah seorang suspek berusia 25 tahun berjaya diberkas selepas kereta yang dinaiki terperangkap didalam kesesakan jalan raya, manakala dua lagi suspek telah melarikan diri,” katanya.

Jelas beliau, hasil semakan pihak polis mendapati kereta Satria yang ditahan itu telah dilaporkan hilang di Taman Melawati pada 9 April lalu.

Tambah Eng Lai, suspek yang ditangkap mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

“Pihak polis kini dalam usaha mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dan siasatan lanjut akan dibuat bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam sindiket curi kenderaan,” ujarnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana telah menghalang penjawat awam dalam
melaksanakan tugas. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.