Entertainment

“Saya Tertonggeng Di Rumah, Tahan Menangis Depan Anak, Netizen Tak Tolong”


Tahun ini sememangnya cukup berbeza buat pelawak Shuib Sepahtu apatah lagi menyambut Ramadan dan Syawal tanpa isteri tercinta, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.

Sudah sembilan bulan pemergian isterinya, menerusi satu temubual bersama Kosmo!, Shuib berkata dia tidak kisah jika orang ramai terus mengkritik dirinya masih berduka kerana dia yang melalui perkara itu.

BACA: “Setiap Kali Ramadan, Saya Akan Minta Sarah Masakkan Pajeri Nanas”

“Saya tak kisah pun orang nak cakap apa. Banyak benda yang saya dah lalui. Bermacam-macam. Selagi kita berpegang dengan apa yang kita tahu dan apa kita rasa, kita jalan sahajalah. Sebab yang merasakan adalah kita. Sembilan bulan, rasa macam semalam baru berlaku.

“Kalau nak fikirkan sangat pasal orang, nak buat apa pun saya tak boleh. Saya tertonggeng di rumah, tahan menangis di depan anak-anak, netizen tak datang rumah ketuk pintu beri pertolongan.

“Mereka hanya boleh beri sokongan di media sosial tapi realitinya, tiada siapa tawar nak buat kaunseling percuma buat saya,” katanya.

Mengakui bukan mudah melalui kehidupan tanpa isteri tercinta, Shuib bagaimanapun berkata hidup perlu diteruskan demi empat anaknya.

“Tipulah kalau saya cakap (semua yang sedang berlaku) senang. Puasa dan raya tanpa dia. Tapi, nak tak nak, kita kena lalui.

“Saya percaya, ada benda baik akan berlaku pada masa hadapan. Cuma nak lalui fasa ke arah itu mungkin agak berat sedikit. Sedih memang sedih.

“Hari pertama puasa, semua keluarga rapat datang rumah berbuka sama. Dalam pada nak tunggu waktu berbuka itu, saya perasan sebelah kiri saya, meja empat segi, memang tempat Sarah pun, ada satu pinggan kosong tapi berisi nasi.

“Abang ipar tanya, ‘nasi untuk siapa?’. Saya jawab tak tahu dan semua pun berpandangan antara satu sama lain. Dalam hati saya, nasi ada tapi kerusi itu (yang kebiasaannya jadi tempat Sarah duduk) kosong,” katanya.

Terdahulu, Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 selepas tiga hari melahirkan anak keempat mereka, Ayash Affan kini berusia tujuh bulan secara pembedahan pada 6 Ogos tahun lalu.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.