Politics

Rangkaian 3 penyerang sandaran PJ City



sukan@hmetro.com.my

Seremban: Skuad PJ City FC optimis terhadap gandingan pemain kebangsaan, R Kogileswaran bersama Darren Lok dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri, untuk mengemudi jentera serangan pasukan itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Malah, dengan kehadiran penyerang baharu, S Kumaahran, yang juga bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), mampu memberi impak yang lebih positif kepada kekuatan pasukan itu.

Keyakinan itu diluahkan pengurus pasukan berkenaan, K Rajendran, selepas menyaksikan persembahan mereka dalam siri aksi persahabatan dengan beberapa pasukan yang diatur setakat ini.

“Kogileswaran, Darren dan Khyril Muhymeen Zambri adalah sandaran kita di bahagian serangan seperti mana musim lalu, selain Mahali Jasuli, yang masih berada pada tahap prestasi terbaik.

“Malah dengan kehadiran Kumaahran, kekuatan bahagian serangan kita bertambah baik kerana bekas pemain JDT yang dipinjamkan kepada Melaka United FC musim lalu itu, antara penyerang tempatan yang berwibawa.

“Daripada siri aksi persahabatan, saya lihat mereka berusaha keras membentuk keserasian yang mantap antara satu sama lain dan ini meyakinkan kita dalam usaha membina kekuatan pasukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Rajendran, berbanding musim lalu, kali ini pengendali, P Maniam, mempunyai beberapa pilihan untuk membariskan pemain yang akan mengetuai jentera serangan dengan kemasukan Kumaahran.

Katanya, keupayaan kelima-lima pemain berkenaan menjaringkan gol dalam aksi persahabatan diadakan, memperlihatkan keyakinan tinggi yang mereka miliki.

“Ini suatu perkembangan yang positif kepada persiapan pasukan dan saya percaya ia bakal memberi impak yang baik menjelang saingan Liga Super nanti.

“Hakikatnya, persiapan kita untuk menghadapi Liga Super musim ini lebih baik berbanding musim lalu kerana kita sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi musim ini lebih getir,” katanya.

Mengenai persiapan seterusnya, beliau berkata pasukan itu yang kekal mempertaruhkan 100 peratus pemain tempatan, akan mengadakan beberapa lagi aksi pemanas badan antaranya menentang Selangor FC, minggu depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.