Entertainment

Raja Ilya Hampir Hilang Nyawa Gara-Gara Rawatan Besarkan Punggung


Pelakon Raja Ilya mendedahkan nyawanya hampir melayang apabila menjadi mangsa doktor estetik palsu selepas membuat suntikan ‘filler’ pada punggungnya sekitar 2008 hingga 2009.

Menurut Raja Ilya, ketika itu dia masih naif dan berdepan diskriminasi dikatakan tiada aset seperti punggung ketika menghadiri uji bakat filem Tamil di India.

BACA: Raja Ilya Mahu Besarkan Anak Cara India & Melayu

“Penerbit menyatakan saya tiada aset seperti punggung besar. Saya menangis kerana merasakan ia adalah diskriminasi. Saya berputus asa dan kemudian menyambung kerja sepenuh masa di Malaysia Airlines (MAS).

“Apabila saya berkongsi cerita ini dengan rakan jurusolek, dia menyarankan membuat punggung dan memperkenalkan kepada seorang doktor,” katanya.

Kata Raja Ilya lagi, dia mengumpul duit sehingga RM8,000 untuk membuat suntikan ‘filler’ pada punggung dan yakin dengan doktor berkenaan selepas menunjukkan gambar artis yang pernah melakukan rawatan sama.

“Apabila diberikan suntikan ‘filler’, saya mula pening, kemudian dicucuk dengan beratus suntikan. Disebabkan terlalu pening, saya tak ingat apa-apa. Saya disuruh balik, kemudian datang beberapa hari untuk menyempurnakan proses rawatan.

“Saya pergi semula beberapa minggu kemudian dan baru sedar melakukan kesilapan besar. Saya kelihatan sangat buruk, macam tempayan,” katanya.

Ujarnya, dia menerima khabar mengejutkan apabila da seorang wanita VIP meninggal dunia selepas membuat suntikan dengan doktor palsu berkenaan. Akibat daripada suntikan itu, Raja Ilya berkata dia mengalami kesan sampingan pada 2015 selepas dimasukkan ke hospital selama berminggu-minggu.

“Ketika itu, saya digigit kucing dan memutuskan ke klinik untuk mengambil vaksin. Ketika itulah, segalanya terbongkar dan saya hampir mati.

“Selepas tiga hari mengambil vaksin, saya sakit dan timbul ketulan seluruh badan. Saya tidak boleh berjalan dan bernafas.

“Saya dimasukkan ke hospital swasta dan tahap kesihatan merudum apabila tekanan darah menurun. Saya dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital kerajaan.

“Saya sedih doktor tidak tahu nak buat apa kerana ingatkan saya mempunyai penyakit pelik. Saya akhirnya dimasukkan ke wad pengasingan bakteria berbahaya selama berminggu-minggu,” katanya.

Ujarnya lagi, selepas ujia dibuat barulah dia tahu ianya adalah minyak silikon dan selepas dua tahun dia melakukan rawatan membuang minyak silikon sebanyak mungkin. Namun, sehingga kini masih ada ketulan yang tinggal kerana tidak boleh dibuang.

“Sebab kebanyakan minyak silikon sudah melekat dengan otot, organ dan tulang belakang. Jika mahu membuangnya saya berdepan risiko lumpuh sebab ia berada sekeliling saraf tunjang.

“Jadi, doktor melakukan prosedur yang mana tidak semuanya boleh dikeluarkan. Semua ketulan kelihatan sama dapat dikeluarkan, manakala, ketulan dekat organ, tidak boleh. Memang sedih saya kena hidup dengan ketulan sana sini sehingga sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Raja Ilya meluahkan rasa berang berhubung kes kematian seorang lelaki yang menerima suntikan membesarkan otot punggung namun ianya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.