Politics

Pusat Bekalan Gas, Loji Janakuasa Pulau Bunting bakal ubah landskap Yan


YAN – Projek berskala mega iaitu Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di sini bernilai RM14.4 bilion diyakini mampu melonjakkan daerah ini dan Kedah sebagai hab industri petroleum terutama berasaskan gas asli cecair (LNG) di rantau ini.

Pembangunan projek oleh MMC Corporation Berhad (Kumpulan MMC) itu sekali gus mampu mengubah landskap sosio ekonomi penduduk di situ yang selama ini bergantung kepada bidang pertanian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) gembira dengan keputusan Kumpulan MMC untuk melabur di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) itu.

“Terima kasih juga kepada Kumpulan MMC yang mana saya yakin pelaburan ini mampu melonjakkan nama Yan dan negeri Kedah khususnya sebagai hab industri petroleum terutama yang berasaskan LNG di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Pengerusi Kumpulan MMC, Tan Sri Tajudin Atan dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Projek berskala mega itu melibatkan tiga komponen utama iaitu Hab STS Yan iaitu pelabuhan pesisiran pantai untuk aktiviti pemindahan kargo produk petroleum terutama LNG, pembinaan Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitar Padu (CCGT) dan Terminal Penggasan Semula LNG yang dikenali sebagai RGT Yan.

Kata Ismail Sabri, selain bakal berubah seperti daerah Pengerang di Johor yang asalnya merupakan sebuah perkampungan nelayan dan kemudian membangun pesat sebagai kawasan perindustrian, penduduk Yan terutama golongan muda juga bakal menikmati banyak peluang pekerjaan.

“Kedah sangat sinonim dengan nama Bumi Jelapang Padi dan bagi memastikan pengeluaran hasil padi negara bertambah, pihak MMC turut membantu menaik taraf sistem perairan di kawasan tanaman padi.

“Hasilnya, kitaran penanaman padi akan ditingkatkan kepada lima kali dalam masa dua tahun berbanding empat kali sekarang.

“Persatuan petani dan pesawah, MADA, Bernas serta MMC juga bersedia untuk merealisasikan projek menaik taraf sistem perairan ini menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-12,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ia merupakan kunjungan kali kedua beliau dalam tempoh setahun ke negeri ini selepas merasmikan projek mega, Projek Strategik NCER – Rubber City bernilai RM10 bilion di Padang Terap dekat sini.

“Projek berkenaan bakal mewujudkan sebanyak 15,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan menjelang tahun 2025.

“Pada hari ini pula, saya berada di daerah Yan untuk merasmikan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana Kuasa Pulau Bunting,” ujarnya.

Katanya, pelancaran dua projek pelaburan mega yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM24.4 bilion itu menunjukkan negeri Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Pusat. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.