Politics

PM bangga Ahli Parlimen Australia guna bahasa Melayu


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan perasaan bangga terhadap Ahli Parlimen Tagney, Sam Lim yang menyampaikan ucapan pertamanya di Dewan Perwakilan Australia hari ini dengan menggunakan bahasa Melayu.

Ismail Sabri berkata, beliau begitu bangga mendengar bahasa Melayu bergema di bumi Australia selain mengucapkan selamat berkhidmat sebagai Ahli Parlimen kepada Lim.

“Bahasa Melayu bergema di bumi Australia. Saya bangga melihat bahasa Melayu dimartabatkan di pentas dunia oleh Sam Lim ketika menyampaikan ucapan sulung beliau di Parlimen Australia.

“Tahniah atas pelantikan sebagai Ahli Parlimen Tangney di Perth dan selamat berkhidmat,” ciapnya menerusi hantaran Twitter tadi.

Terdahulu, Lim yang merupakan anak jati Muar, Johor sempat menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan kepadanya menggunakan bahasa Melayu.

“Kepada semua saudara yang berada di Malaysia, Australia dan seluruh pelusuk dunia, terima kasih atas semua perhatian dan berkat yang anda berikan kepada saya.

“Terima kasih atas semua dokongan dan bantuan anda semasa pilihan raya di Australia, terima kasih semua,” katanya yang menyampaikan ungkapan itu dalam bahasa Melayu dan juga Cina.

Lim dilantik sebagai Ahli Parlimen selepas menewaskan calon Liberal, Ben Morton dengan margin 9.5 peratus dalam pilihan raya umum persekutuan pada Mei lalu

Lim yang berhijrah ke Perth pada tahun 2002 juga pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama dua tahun pada 1983. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.