Politics

Pencemaran ragut 9 juta nyawa setiap tahun


LONDON – Satu daripada enam kematian di seluruh dunia pada tahun 2019 adalah berpunca daripada pencemaran, melebihi kadar kematian global akibat peperangan, malaria, virus kurang imun (HIV), dadah atau alkohol.

Menurut laporan stesen penyiaran CNN, data yang diperoleh daripada kajian Suruhanjaya Lancet yang berpangkalan di London itu mendedahkan pencemaran telah membunuh sembilan juta penduduk dunia setiap tahun.

Hampir tiga perempat daripadanya adalah disebabkan oleh pencemaran udara.

Berdasarkan kajian tersebut, kematian akibat pencemaran udara dan pencemaran kimia toksik meningkat 66 peratus bagi tempoh 20 tahun lalu, yang didorong oleh urbanisasi tidak terkawal, pertumbuhan populasi dan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Kesan ke atas kesihatan bagi masalah pencemaran kekal signifikan, dengan negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana paling banyak menanggung beban ini.

“Meskipun kesannya kepada kesihatan, ekonomi dan sosial amat besar, langkah-langkah pencegahan pencemaran sering diabaikan dalam agenda pembangunan antarabangsa,” kata ketua pengarang kajian, Richard Fuller.

Selain pencemaran udara, pencemaran air merupakan penyebab seterusnya yang mencetuskan ancaman kematian dengan mengakibatkan 1.36 juta kematian pramatang pada 2019.

Kajian yang sama turut mendapati bahawa lebih 90 peratus kematian berlaku di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak menjadikan pencemaran sebagai isu utama, seperti India dan Nigeria.

“Jelas di sini bahawa pencemaran merupakan ancaman buat seluruh dunia. Pemacu, penyebaran dan kesan ke atas kesihatan melangkaui sempadan negara dan ia memerlukan tindak balas global,” jelas pengarang bersama kajian, Rachael Kupka.

Sementara itu, India merupakan negara yang paling banyak merekodkan kematian berkaitan pencemaran udara pada 2019, dengan lebih 1.6 juta rakyatnya mati akibat masalah tersebut.

Kadar pencemaran di hampir semua bahagian di negara itu juga merekodkan paras yang melebihi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menjadikan berjuta-juta penduduk bernafas menggunakan udara tercemar setiap hari.

Satu data yang dikeluarkan badan pemantauan, IQAir pada tahun lepas turut mendapati enam daripada 10 bandar paling tercemar di dunia adalah terletak di India. 

Pada 2019, kerajaan India mengumumkan kempen seluruh negara dengan matlamat untuk mengurangkan pencemaran partikel sehingga 30 peratus menjelang 2024.

Beberapa pelan khusus juga telah dirangka untuk setiap bandar. Contohnya, di ibu negaranya, New Delhi, pelan yang digariskan termasuk langkah-langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas, pembakaran dan habuk jalan serta menggalakkan penggunaan bahan api yang lebih bersih.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun lepas, masalah pencemaran semakin buruk di negara itu, yang sebahagiannya disebabkan kebergantungan terhadap bahan api fosil. – Agensi 

 





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.