Politics

Operasi kesan helikopter Eurocopter EC120B disambung hari ini


TAPAH – Operasi mengesan helikopter jenis Eurocopter EC120B yang hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang semalam, disambung pada pukul 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, operasi itu melibatkan kekuatan seramai 10 pegawai dan 197 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Jabatan Perhutanan.

“Operasi pencarian dibahagikan kepada lima kumpulan melibatkan pelbagai agensi penyelamat di dua sektor iaitu di Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan.

“Operasi mencari mangsa dijalankan dalam radius lima kilometer dari lokasi terakhir helikopter mangsa dikesan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC),” katanya ketika ditemui di Balai Polis Bidor di sini hari ini.

Menurut beliau, sebuah helikopter dari Unit Udara PDRM turut diterbangkan dalam operasi berkenaan.

Penerbangan helikopter Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH milik syarikat swasta itu dilaporkan gagal dihubungi KLATCC pada pukul 12.16 tengah hari semalam.

Helikopter yang dikendalikan seorang juruterbang dipercayai bukan warga tempatan itu berlepas dari Subang pada pukul 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3 petang di mana lokasi terakhir helikopter dikesan berhampiran Hutan Simpan Chikus. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.