Politics

Newcastle dinasihatkan bertenang selepas lakar kemenangan


Newcastle: Eddie Howe menggesa Newcastle untuk ‘bertenang’ apabila berjaya keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris selepas melakarkan kemenangan penting menewaskan Everton 3-1 seterusnya memberikan tekanan kepada pasukan bimbingan Frank Lampard.

Skuad bimbingan Howe ketinggalan pada separuh masa pertama hasil jaringan sendiri Jamaal Lascelles di St James Park.

Namun gol sendiri Mason Holgate mencetuskan kebangkitan sempurna Magpies.

Ryan Fraser meletakkan Newcastle di hadapan selepas separuh masa pertama dan sepakan percuma yang hebat dari Kieran Trippier melengkapkan kemenangan kedua berturut-turut tuan rumah.

Terperangkap di kedudukan tiga tercorot sepanjang musim ini, Newcastle kini boleh bernafas lega ketika mereka berjuang untuk mengelak daripada beraksi di Liga Kejuaraan.

Tidak tewas dalam empat perlawanan liga terdahulu, Newcastle berada satu tempat di atas dengan dua mata di atas zon penyingkiran.

Howe bagaimanapun memberi amaran kepada pemainnya untuk terus kekal fokus.

“Kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana sesuatu yang jarang berlaku, ia boleh merubah status anda dan menaikkan taraf kelab. Tetapi kami perlu bertenang dan fokus perlawanan seterusnya.

“Kami kini berada di tempat yang lebih baik tetapi bola sepak sentiasa berubah-ubah, jadi kami tidak boleh selesa kerana kami tahu betapa sukarnya liga ini.”

Everton kini berada di kedudukan bahaya dan Lampard perlu memastikan tugasnya tidak dipersoalkan.

Lampard mencatatkan kemenangan pertama 4-1 ke atas Brentford dalam saingan Piala FA pusingan keempat Sabtu lalu.

Namun Everton gagal memenangi enam perlawanan liga terakhir dan kini hanya satu mata mengatasi Newcastle.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.