Politics

Muhyiddin sangkal dakwaan Najib, Bersatu sebabkan MN musnah


PETALING JAYA – Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menuduh pengkhianatan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi punca Muafakat Nasional (MN) gagal.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, Najib juga turut menuduh Bersatu meletakkan calon melawan UMNO dalam PRN Sabah dan menyatakan itu adalah satu perbuatan khianat kepada UMNO.

“Faktanya tidak ada satu pun kerusi di mana calon Bersatu melawan UMNO dalam PRN Sabah. Sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, saya telah mempengerusikan beberapa mesyuarat yang dihadiri oleh pimpinan PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menetapkan pembahagian kerusi bagi PRN Sabah.

“Saya telah menyatakan dengan jelas dalam mesyuarat-mesyuarat ini penting untuk PN, BN dan PBS mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN Sabah,” jelasnya di Facebook rasmi sebentar tadi.

Katanya lagi, dia turut mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk membentuk jawatankuasa pembahagian kerusi antara parti-parti PN, BN dan PBS dengan satu arahan yang jelas bahawa semua parti mesti mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Jelasnya, perincian pembahagian kerusi dibincangkan di peringkat jawatankuasa ini. Antara yang terlibat sama Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya dimaklumkan di peringkat awalnya jawatankuasa ini telah memutuskan sejumlah kerusi untuk ditandingi oleh parti-parti PN, BN dan PBS. Tetapi BN kemudiannya menambah jumlah kerusi dan menyebabkan berlaku pertembungan di beberapa tempat.

“Melihat keadaan ini, saya telah pergi ke Kota Kinabalu sebelum hari penamaan calon untuk melakukan rundingan saat akhir dan mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil parti, malangnya, mesyuarat ini gagal capai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon mereka,” jelasnya.-K! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.