Politics

Modul 3M tingkat penguasaan murid Orang Asli


PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif membangunkan modul berkonsepkan membaca, menulis dan mengira (3M) bagi mengatasi masalah itu dalam kalangan anak Orang Asli.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pihaknya memiliki ramai tenaga pakar dalam pedagogi yang boleh membantu memajukan sistem pendidikan di sekolah seluruh negara.

“Baru-baru ini, UPSI telah menubuhkan Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI) yang bakal menjadi rujukan sektor pendidikan terutamanya dalam hal pembangunan pedagogi di negara ini.

“Modul 3M dibangunkan UPSI bertujuan mengatasi masalah pembelajaran murid Orang Asli berpotensi dikembangkan kepada semua murid di seluruh negara yang menghadapi masalah pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin menyerahkan set keperluan persekolahan kepada 83 murid Orang Asli di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput, Perak.

Katanya,modul itu diwujudkan menerusi projek Empower Encer Academic @ Perak yang siri pertamanya membabitkan seramai 300 orang murid di lima buah sekolah di sekitar Batang Padang, Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

“Projek Empower Encer Academic @ Perak, dibiayai sepenuhnya oleh Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) sejak tahun 2020.

“Kini, UPSI bersedia untuk membantu Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta lain-lain agensi dalam memartabatkan pendidikan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.