Politics

Melaka United gigit jari lagi


MELAKA – Melaka United FC yang dibelenggu pemain tidak dibayar gaji tiga bulan tewas 0-3 kepada Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.Tanpa kelibat empat pemain import, Ifedayo Olusegun, Sony Norde, Emmanuel Oti dan Adriano Narcizo yang dikatakan tidak berada dalam senarai akibat kecederaan, jentera serangan tuan rumah jelas tumpul.

Buat skuad Sang Kancil kekalahan kepada Kedah meneruskan rentetan kekalahan ketiga berturut-turut dialami selepas dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0 dan Terengganu FC 5-0 sebelum ini.

Dua gol menerusi penyerang import dari Jordan, Mahmoud Almardi pada minit ke-13 serta minit ke-89 serta pemain gantian, Mohammad Fayadh Zulkiflin di minit ke-83 sudah cukup membantu Kedah mengutip tiga mata penuh.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat pasukan itu selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 baru-baru ini.

Buat skuad Hijau Kuning yang dikendali jurulatih, Aidil Sharin Ishak kemenangan 3-0 membolehkan pasukannya berada di tangga kelima liga mengutip 24 mata daripada 16 perlawanan setakat ini.

Pelawat tidak menunggu lama seawal minit ke-13, tirai jaringan pertama dihasilkan Mahmoud Almardi. Gol berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh ketua pasukan, Mohd. Syazwan Zainon terus di depan pintu gol.

Bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Tian Keat See terus disambar Mahmoud untuk mudah menyepak masuk.

Melaka yang tersentak dengan gol awal pelawat cuba menggandakan asakan mencari gol penyamaan yang dicari gagal menggugat benteng pertahanan Kedah.

Ketiadaan empat pemain import tuan rumah jelas menampakkan kepincangan di bahagian serangan.

Tuan rumah bermain seperti kehilangan arah walaupun menyandarkan harapan kepada pemain kebangsaan, Norsharul Idlan Talaha dan Mohamad Fakhrullah Rosli di bahagian serangan namun segalanya tidak menjadi.

Pada minit ke-30, Mahmoud nyaris-nyaris meledakkan jaringan kedua buat Kedah namun tandukannya tidak menepati sasaran walaupun hanya berdepan dengan Keat See.

Wanja Ronald Ngah nyaris menjaringkan gol kedua buat Kedah pada minit ke-73 apabila tandukannya ketika berdepan Keat See sekadar melewati palang gol.

Begitupun tujuh minit sebelum babak tamat, pelawat menambah gol kedua menerusi Mohammad Fayadh yang mudah menyungkit masuk menewaskan Keat See dan minit-minit terakhir Mahmoud meledakkan jaringan ketiga buat kedah. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.