Politics

Leclerc tekad buru kemenangan buat Ferrari di Monza


MONZA – Ferrari kembali menceriakan ribuan penyokongnya selepas Charles Leclerc berjaya menempah petak utama sejurus mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix (GP) Itali sebentar tadi.

Leclerc tampil dengan pemanduan cemerlang sekali gus dilihat mampu mengembalikan semula kemenangan buat Ferrari selepas kali terakhir mereka menjulang trofi kemenangan di laman sendiri pada 2019.

Peluang Ferrari untuk menaiki podium di Litar Monza tampak cerah apabila Max Verstappen (Red Bull) yang mencatat masa kedua terpantas pada aksi kelayakan itu akan memulakan saingan di petak ke ketujuh selepas dikenakan penalti lima grid sejurus melakukan perubahan pada komponen enjin.

Pemandu Mercedes, George Russell akan memulakan saingan petak kedua manakala Lando Norris (McLaren) akan memulakan saingan petak ketiga.

Leclerc tampil dengan pemanduan cemerlang.

Rakan sepasukan Leclerc, Carlos Sainz yang melakukan kejutan mencatat masa ketiga terpantas di Monza terpaksa akur bermula di petak ke-18 selepas Ferrari melakukan perubahan enjin dan juga kotak gear pada jentera pemandu Sepanyol tersebut.

“Saya sangat gembira dengan aksi kelayakan ini dan ia adalah hujung minggu yang hebat. Saya harap dengan pusingan yang positif ini, Ferrari mampu mengulangi pencapaian terbaik seperti merangkul kemenangan pada edisi 2019,” kata Leclerc sejurus tamat sesi kelayakan sebentar tadi.

Verstappen yakin dia masih mempunyai peluang untuk menaiki podium namun mengambil pendekatan berhati-hati pada awal perlumbaan esok.

“Saya akan cuba berhati-hati pada awal saingan dan fokus untuk kembali berada di hadapan semula,” kata Verstappen. -AGENSI

 





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.