Politics

Kumpul modal online sebelum buka butik


KUALA SELANGOR – Soko­ngan keluarga termasuk ibu bapa, isteri dan ibu mertua menjadi kunci kejayaan kepada seorang peniaga pakaian tradi­sional Melayu yang kini berjaya membuka sebuah butik fizikal di Puncak Alam dekat sini.

Butik yang baru dibuka pada akhir bulan Mac lalu telah menjadi simbol jerih perih bagi Abdul Rahman Mat yang berasal dari Kampung Bintawa Ku­ching, Sarawak. Abdul Rahman, 40, sebelum ini pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Minatnya yang mendalam dalam bidang perniagaan telah membolehkan beliau mengusahakan perniagaan menjual pa­kaian tradisional sejak tiga tahun lalu melalui media sosial Facebook, ARM Design Collection.

“Saya minat berniaga sejak dari kecil lagi yang mana antara yang biasa dijual adalah nasi lemak. Hasil menjual nasi lemak dapat membantu menambah pendapatan keluarga.

“Meskipun telah bekerja dalam bidang perkhidmatan awam, minat tersebut tidak pernah terpadam, malah ia semakin rancak diteruskan.

“Saya menceburi bidang perniagaan pakaian tradisional se­cara kecil-kecilan dan terus berkembang secara berperingkat.

“Melihat kepada permintaan tempahan dan stok barangan yang semakin bertambah telah membuatkan operasi perniagaan online yang berpusat hanya di rumah di Puncak Alam dekat sini telah memaksa saya mencari idea untuk memiliki sebuah butik fizikal yang lebih sesuai untuk dikunjungi pelanggan.

“Pelanggan juga boleh memilih koleksi pakaian dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian butik ARM Design Collection di Puncak Bestari, Puncak Alam dekat sini baru-­baru ini.

Abdul Rahman berkata, produk yang dipasarkan ter­masuk baju Melayu, baju kurung, te­lekung, songkok, tudung, sam­ping dan pelbagai koleksi lain pada harga jualan antara RM5 hingga RM300 mengikut kualiti dan jenis fabrik.

Bersandarkan kepada asas pertambahan pelanggannya di platform maya dan dijangka mereka juga bakal berkunjung ke butik fizikalnya, beliau mengunjurkan perolehan jualan syarikat sepanjang enam bulan ini adalah sebanyak RM45,000 sebulan.

Tambah beliau, perniagaan yang diusaha bersama isterinya, Suriani Mohd.Isa, 42, itu sentiasa mengamalkan mesra pelanggan dan berusaha untuk memper­baiki perkhidmatan bagi meme­nuhi kehendak mereka.

“Prinsip perniagaan saya amat mudah, kita boleh berun­ding dengan pelanggan hingga urusan bisnes berjaya dimuktamadkan.

“Ada pelanggan yang datang bersama keluarga untuk membeli-­belah bagi persiapan hari raya tetapi memiliki bajet terhad, oleh itu, saya tidak mahu menghampakan pelanggan ke­rana tidak mahu mereka pulang dengan tangan kosong dan perasaan hampa,” katanya.

Tambah Abdul Rahman memberitahu, butiknya itu kini memiliki lima kakitangan yang banyak membantu menjayakan operasi perniagaannya setiap hari.

“Kesemua kakitangan kami te­lah diberi latihan dan motivasi untuk memastikan mereka mampu­ menjadi jurujual yang berjaya bukan sahaja pada musim me­­nyambut Syawal kali ini tetapi juga pada musim perayaan yang lain pada masa depan.

“Cabaran berniaga secara online dan juga di butik amat berbeza tetapi apa yang pen­ting, kami akan memastikan pe­langgan mendapat pakaian yang mereka suka,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, kepuasan bagi diri­nya kini adalah untuk memenuhi kehendak pelanggan.
Meskipun dianggap sebagai satu cabaran tetapi kesannya sangat positif kepada ­ perniagaan untuk jangka masa panjang.

Selain itu, beliau juga perlu sentiasa memastikan produk di platform maya dan juga di butik sentiasa laris menerusi sistem pengurusan pemasaran yang teratur dan efisien.

“Semasa aktif memasarkan pro­duk secara online, saya tetap mempamerkan produk yang dijual melalui siaran langsung di media sosial.

“Saya perlu menunjukkan kualiti jahitan pada pakaian dan jenis fabrik yang digunakan bagi memberi kepuasan pelanggan untuk mereka membuat keputusan membeli pakaian yang di­tawarkan,” jelas beliau lagi. -KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.