Politics

Enggan lagi berpura-pura, Ika Mustafa tanggal tudung


PETALING JAYA – Penyanyi Ika Mustafa mengambil keputusan untuk kembali tidak berhijab kerana enggan lagi ‘berpura-pura’ di depan orang ramai selepas dua tahun ‘berhijrah’.

Keputusan membuka hijab yang diambil oleh penyanyi berusia 24 tahun itu juga dibuat selepas dia kembali sibuk dengan kerjaya tetapnya sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan.

Sewaktu disoal tentang tindakannya membuka hijab, Ika atau nama lengkapnya Nursyafiqah Mustafa memberitahu dia tidak mahu lagi berpura-pura selain berasa belum cukup kuat untuk kekal dengan imej sebegitu (berhijab).

“Sebelum ini memang saya tidak berhijab pun. Saya tidak mahu lagi berpura-pura depan orang ramai. Saya hanya pakai tudung sekitar dua tahun sahaja sewaktu pandemik.

“Saya kembali untuk membuka hijab sepenuhnya pada Februari tahun ini. Dalam tempoh itu, saya berhijab ‘on-off’ sebab masih lagi bergelar pramugari,” ujarnya.

Kata pelantun lagu Damaikanlah itu lagi, dia berasa bersalah kerana tidak berhijab sepenuhnya sehingga merasakan dirinya mempunyai dua individu berbeza.

“Depan kamera saya berhijab, belakang kamera saya tidak berhijab. Saya rasa perkara itu salah.

“Takut juga kalau orang jumpa saya ketika dalam ‘flight’ (jadi pramugari). Kejap bertudung, kejap tidak,” katanya.

Jelas Ika, dia mengambil keputusan untuk memakai hijab selepas mendakwa hatinya seperti ‘dijentik’ untuk berubah ke arah kebaikan ketika seluruh dunia dilanda wabak Covid-19.

“Biasalah setiap orang akan ada fasa rasa hati untuk berubah. Mahu jadi yang lebih baik. Tapi bukan mudah untuk kekal istikamah.

“Lagi pun saya masih lagi betugas sebagai pramugari dan telah memasuki tahun yang keempat. Ketika pandemik saya fokus dengan kerjaya nyanyian kerana industri penerbangan terhad ketika itu. Sekarang saya sudah ‘terbang’ semula sepenuh masa,” jelasnya.

Ditanya tentang reaksi orang-orang disekelilingnya, Ika berkata mereka tiada apa-apa masalah kerana tahu dia masih belum berhijab sepenuhnya.

“Bagaimanapun, reaksi netizen mungkin berbeza dan akan menjadi isu. Tapi bagi orang yang kenal saya, mereka rasa tindakan saya ini (buka hijab) biasa sahaja.

“Memang ketika saya ambil keputusan untuk berhijab, hati saya benar-benar mahu berubah. Cuma tidak kekal,” katanya.

Masih meneruskan kerjaya sebagai pramugari, Ika mengakui jadual kerjayanya sangat padat dan perlu membahagikan masa dengan karier nyanyian.

“Sekarang saya sudah kembali dengan kerjaya pramugari sepenuh masa. Jadual saya sangat padat. Kalau jadual penerbangan saya pagi, maka saya perlu susun jadual kerjaya nyanyian pada waktu malam.

“Kalau tidak saya terpaksa ambil cuti,” ujar Ika.

Dalam perkembangan terkini, Ika sempat berkongsi tentang single terbaharunya berjudul Tak Punya Hati yang baru sahaja dilancarkan pada minggu lalu.

“Alhamdulillah, saya baru sahaja melancarkan single Tak Punya Hati pada minggu lalu yang juga menjadi runut lagu (OST) untuk drama Ku Punya Hati lakonan Sharifah Rose dan Nabil Aqil.

“Lirik dan lagu ini dicipta oleh Shazee Ishak dan Audi Mok,” katanya. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.