Politics

Dua sepupu berusia 11 tahun maut dilanggar lori, kereta


TELUK INTAN – Dua orang sepupu maut setelah motosikal yang dinaiki mereka dilanggar oleh dua buah kenderaan ketika keluar daripada simpang jalan di Parit 7A, Sungai Manik di sini tengah hari tadi.

Mangsa merupakan pelajar lelaki sekolah rendah berasal dari Labu Kubong, Teluk Intan dan Kampung Batu 2 Sungai Pinang, Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kedua-dua mangsa berusia 11 tahun itu meninggal dunia dilokasi kejadian akibat cedera parah.

Menurut Ahmad Adnan, pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 12.10 tengah hari yang memaklumkan terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal, sebuah kereta dan sebuah lori.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua kanak-kanak berkenaan sedang menaiki motosikal jenis Honda Ex-5 keluaran 1995 dari arah Parit 7B, Sungai Manik menghala ke jalan besar.

“Setibanya mereka di lokasi kejadian mangsa telah keluar daripada simpang secara mengejut dan dilanggar oleh sebuah lori jenis Hino dari arah Langkap menghala ke Teluk Intan.

“Akibat pelanggaran berkenaan penunggang dan pembonceng motosikal tersebut tercampak ke laluan sebelah dan dilanggar sebuah kereta jenis Proton Waja dari arah Teluk Intan menghala ke Langkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, akibat pelanggaran tersebut mangsa tercampak di tengah jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. – KOSMO! ONLINE.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.