Politics

Dituduh rasis, Michael Ang tempelak netizen


PETALING JAYA – Penerbit dan pengarah, Michael Ang menempelak segelintir netizen yang mengaitkan sentimen perkauman berhubung pendapatnya mengenai kes basikal lajak baru-baru ini.

Michael memaklumkan, dia tidak menyangka tindakan menyuarakan pandangan mencetuskan kecaman pihak tertentu yang mendakwa dirinya mempertahankan wanita tersebut hanya kerana mereka sebangsa.

“Kalian netizen tak ada modal lain ke kalau hendak berhujah. Balik-balik gunakan rasisme (isu kaum)! Sudah 2022 ‘racism is so yesterday’.

“Hanya kerana saya cakap perempuan itu tak patut dipenjarakam enam tahun, dengan segera keluar kenyataan, ‘dia kaum kau, kau backup la’. Apa yang bodoh sangat tu.

“Sudah-sudahlah kamu semua ya. Bukan semua orang kat Malaysia ini pentaksub perkauman macam kamu.

“Cuma kerana saya katakan sesuatu untuk mempertahankan seseorang yang berbangsa Cina, tidak bermakna saya rasis,” katanya menerusi Instagram.

Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 kepada kerani, Sam Ke Ting kerana memandu secara melulu.

Kemalangan yang berlaku pada 18 Februari 2017 tersebut menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak.

Susulan itu, satu petisyen merayu pembebasan Sam Ke Ting, 27, menerusi laman Change.org telah meraih hampir 900,000 tandatangan sejak dilancarkan empat hari lalu.

Sebilangan besar masyarakat menyifatkan hukuman yang dikenakan terlampau berat sedangkan wanita terbabit hanya menjadi mangsa keadaan.

Pada masa sama, pengarah drama Kimchi Untuk Awak itu menegaskan, akan terus memberikan teguran terbuka andai merasakan ada perkara tidak betul tanpa mengira bangsa.

“Hey saya tak kisahlah kalau dia Cina ke Melayu ke India ke. Kalau saya rasa ada sesuatu yang tak betul memang saya akan saya suarakan.

“Kalau pemandu tu mabuk saya tetap akan suruh mahkamah untuk gantung sampai mati saja dia tanpa mengira bangsa.

“Sekali lagi, bukan semua orang pentaksub perkauman okay! Nak hanjingkan orang, cuba jadi kreatif lagi ya,” katanya lagi menempelak tanggapan pihak tersebut. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.