Politics

Bautista pertahan emas di Hanoi


HANOI – Jaguh 110 meter (m) lari berpagar Filipina, Clinton Bautista mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara itu pada dua temasya Sukan SEA berturut-turut.

Bautista, 29, sebelum ini terpaksa ditentukan sebagai juara pada edisi Sukan SEA Manila 2019 menerusi keputusan photo finish untuk menewaskan pelari dari Malaysia, Rayzam Shah Wan Sofian.

Namun, kali ini jaguh pecut Fili­pina membuktikan kehebatannya apabila mendominasi aksi final Sukan SEA Vietnam 2021 dengan catatan masa 13.78 saat (s) di Stadium Nasional My Dinh kelmarin.

Ia adalah rekod baharu peribadi buat Bautista yang sebelum ini melakukan catatan 13.97s dalam satu kejohanan di New Clark City, Filipina pada tahun 2019.

“Saya langsung tidak menjangkakan kejayaan ini. Pelari Thailand dan Singapura mempunyai catatan masa yang lebih pantas daripada saya tahun ini,” kata Bautista.

Pingat perak pula dimenangi pelari Singapura, Ang Chen Xiang dengan catatan masa 13.94s, manakala Natthaphon Dansungnoen dari Thailand meraih gangsa selepas mencatatkan 13.99s.

Sementara itu, atlet wanita Filipina, Alyana Joyce Nicholas gagal mengikut jejak langkah Bautista kelmarin apabila sekadar memenangi tempat ketiga dalam aksi final acara lompat bergalah.

Pemenang pingat emas dalam acara itu dimenangi atlet Malaysia, Nor Sarah Adi yang melakukan catatan 4.00m dan perak pula menjadi milik Chonthicha Khabut dari Thailand (3.80m).
– AGENSI





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.